MARI MAKAN
ULAMAN n DAUNAN n HERBAL
Balik Adap
Nama Saintifik:Mussaenda villosa wall
Famili: Rubiaceae
Nama Biasa: Balik adap
Lokasi dijumpai:
Disemak-semak dan belukar
Keterangan
Tumbuhan ini biasa dijumpai di kampung-kampung
di kawasan belukar. Daunnya terdiri dari campuran daun yang berwarna hijau dan
putih. Bunganya ada yang berwarna oren dan ada yang berwarna putih. Daunnya
biasa dijadikan ulam oleh penduduk kampung.
Kegunaan
Ia digunakan untuk mengubati demam dengan cara
meramas daunnya ke dalam sebesen air sama seperti yang dilakukan dengan
menggunakan daun bunga cina. Air ini digunakan untuk menjarang (membasahkan)
kepala pesakit untuk menurunkan suhu badannya.
Bangun-bangun
Nama Saintifik: Solenostemon amboinicus
Famili: Labiatae
Nama Biasa: Bangun-bangun
Nama lain: Ati-ati hijau, allspice
Lokasi dijumpai: Di tanam sebagai rempah dan
ulam
Keterangan
Pokok bangun-bangun atau dikenali juga dengan
ati-ati hijau biasa ditanam sebagai ulaman dan penyedap rasa dalam masakan.
Pucuk mudanya dijadikan ramuan untuk sambal tempoyak. Ia juga dijadikan ramuan
untuk nasi ulam. Bangun-bangun senang membiak melalui keratan batang dan daun.
Medium pilihan ialah tanah gembur yang mempunyai pengaliran air yang baik dan
terdedah kepada cahaya matahari.
Kegunaan
Bangun-bangun terkenal dalam perubatan melayu
dan cina terutamanya untuk menjadi penawar kepada batuk, mual-mual,sakit kepala
dan masalah pencernaan. Caranya sehelai daun bangun-bangun diseduh dengan air
panas dan dimasukkan sedikit gula batu sebelum di minum. Jusnya pula boleh
dijadikan ubat untuk asma, batuk dan bronkitis. Daunnya yang dilumatkan dapat
menjadi penawar kepada gigitan serangga berbisa dan kulit melecur dengan cara
menampal daun lumat yang telah menjadi seperti pes pada bahagian yang terlibat.
Bebuas
Nama Saintifik: Premma Cordiflora
Famili: verbenaceae
Nama Biasa: Bebuas
Lokasi dijumpai: Tumbuh meliar di tepi hutan
Keterangan
Bebuas banyak dijadikan ulam oleh masyarakat
melayu . Pucuknya yang rangup dan mempunyai rasa sedikit pahit menambahkan lagi
selera makan.
Kegunaan
Antara khasiat pokok bebuas bila dimakan mentah
sebagai ulam ialah ia dapat membuang angin dalam badan dengan cepat. Air
rebusan pucuk bebuas pula boleh menolong untuk mengatasi masalah kecacingan dan
menambah air susu ibu.
Cempaka telur
Nama Saintifik: Michelia Pumila/Talauma pumila
Bl
Famili: Magnoliaceae
Nama Biasa: Cempaka telur
Nama lain: Dwarf magnolia, cempaka gondok,
magnolia coco, egg magnolia
Lokasi dijumpai:Tumbuhan liar dan hiasan
Keterangan
Tumbuhan ini mempunyai batang berkayu dan boleh
membiak melalui biji benih dan keratan batang. Bunganya berbentuk bulat seperti
telur dan mempunyai bau yang amat wangi terutamanya diwaktu malam. Ia boleh
mencapai ketinggian antara 3-6 kaki (1-2 meter). Jika ditanam di dalam pasu ia
perlu disiram setiap hari supaya tanahnya tidak kering. Tumbuhan ini tidak
boleh terlalu terdedah kepada cahaya matahari terus tetapi memerlukan cahaya
yang cukup untuk membesar dan berbunga
Kegunaan
Bunganya boleh digunakan untuk mengubati
keputihan, batuk berkahak, insomania dan kecederaan traumatik
Bunga Cina / Melur Cina
Nama Saintifik: Gardenia Augusta
Famili:Rubiaceae
Nama Biasa: Bunga Cina / Melur Cina
Nama lain: Kacapiring, gardenia
Lokasi dijumpai: Di halaman rumah, taman-taman bunga
Keterangan
Bunga cina atau nama saintifiknya Gardenia
augusta, Merr dari famili Rubiaceae banyak ditanam sebagai tumbuhan hiasan atau
sebagai pagar kerana daunnya yang rimbun dan mempunyai banyak cabang. Bunganya
yang berwarna putih berbentuk seperti bunga mawar dan berbau harum. Warna putih
akan berubah menjadi kekuningan selepas bunga mekar sepenuhnya.Tumbuhan ini
boleh tumbuh di tempat sejuk atau panas dan ia merupakan tumbuhan yang senang
dijaga. Tempat yang paling sesuai untuk pertumbuhannya adalah ditempat yang
beriklim agak sejuk seperti dikawasan pergunungan dengan ketinggian lebih
kurang 400 meter dari paras laut. Pokok ini boleh mencapai ketinggian 1 - 2
meter. Ia membiak melalui keratan batang dan semaiannya boleh dilakukan dengan
memilih ranting yang agak tua, buang kesemua daunnya dan tanamkan di dalam
polybag berisi pasir. Pastikan air mencukupi bagi menggalakkanpertumbuhan akar.
Pokok ini mempunyai potensi untuk di komersialkan sebagai minyak wangi kerana
bau bunganya yang sangat harum.
Kegunaan
Boleh digunakan untuk mengubati penyakit kencing
manis, seriawan, demam dan sembelit. Caranya untuk kencing manis ambil 12 helai
bunga cina direbus dengan 2 gelas air sehingga tinggal satu gelas dan diminum
sekali sehari. Untuk seriawan pula, ambil 7 helai daunnya diramas dengan
secawan air lalu ditapis dan dicampurkan dengan 2 sudu makan madu dan seketul
gula batu. Minum 2 kali sehari. Manakala untuk demam pula, ramas 7 helai
daunnya dengan secawan air yang dicampur dengan gula batu lalu diminum 2 kali
sehari. Bagi merwat sembelit pula ambil 3 biji buahnya direbus dengan 2 gelas
air sehingga mendidih yang berbaki hanya satu gelas sahaja.
Cekur
Nama Saintifik: Kaempferia galangal
Famili: Zingiberaeceae
Nama Biasa: Cekur
Nama lain: Kencur
Lokasi dijumpai: Di pinggir hutan
Keterangan
Sejenis herba dan tumbuh melebar di atas tanah.
Daun licin, berbentuk tirus, tersusun padat dlm pasangan yang bertentangan.
Hujung daun runcing, lebih kurang 16cm panjang, 8 cm lebar. Daunnya mempunyai
sedikit aroma. Cekur tidak berbatang, mengeluarkan bunga berwarna putih-ungu.
Akar/rizomnya bercabang-cabang, beraroma dan isinya berwarna kuning oren. Cekur
bukan bahan penting dalam masakan orang Malaysia tetapi berperanan besar dalam
masakan Indonesia, Thailand, Vietnam dan India.
Kegunaan
Di Asia Tenggara, rizom cekur dicampurkan dengan
lada sulah, kayu manis dan madu untuk mengubati selsema. Ia dijadikan tonik
untuk mengubati batuk kering dan bronchitis. Cekur juga dijadikan losyen untuk
merawat sakit mata, sakit tekak, bengkak, demam, sakit dan sengal tulang. Untuk
wanita baru bersalin, cekur mengucupkan rahim dan menggalakkan pembuangan
angin. Di Indonesia, akar cekur digunakan untuk merawat keracunan makanan,
ulser mulut, batuk dan selsema. Akar cekur yang dikunyah dan ditelan boleh
membuat seseorang itu khayal. Di India, wangian daripada cekur digunakan untuk
melindungi pakaian daripada serangga. Di Filipina, air rebusan akar cekur
digunakan untuk merawat sakit perut disebabkan pencernaan makanan yang kurang
baik. Air rebusan turut digunakan untuk membasuh rambut bagi mengatasi masalah
kelemumur dan menghilangkan rasa gatal dan pedih akibat digigit ulat bulu. Di
Thailand, cekur digunakan untuk merawat sakit kepala.
Cempaka telur
Nama Saintifik:Michelia Pumila/Talauma pumila Bl
Famili:Magnoliaceae
Nama Biasa:Cempaka telur
Nama lain:Dwarf magnolia, cempaka gondok,
magnolia coco, egg magnolia
Lokasi dijumpai:Tumbuhan liar dan hiasan
Keterangan
Tumbuhan ini mempunyai batang berkayu dan boleh
membiak melalui biji benih dan keratan batang. Bunganya berbentuk bulat seperti
telur dan mempunyai bau yang amat wangi terutamanya diwaktu malam. Ia boleh
mencapai ketinggian antara 3-6 kaki (1-2 meter). Jika ditanam di dalam pasu ia
perlu disiram setiap hari supaya tanahnya tidak kering. Tumbuhan ini tidak
boleh terlalu terdedah kepada cahaya matahari terus tetapi memerlukan cahaya
yang cukup untuk membesar dan berbunga
Kegunaan
Bunganya boleh digunakan untuk mengubati
keputihan, batuk berkahak, insomania dan kecederaan traumatik
Dukung Anak
Nama Saintifik:Phyllanthus Niruri
Famili:Eurphorbiaceae
Nama Biasa:Dukung Anak
Nama lain:Kelek anak,
meniran(indonesia),Bhuaionla, kiranelligida(india)
Lokasi dijumpai:Di tepi longkang dan di kawasan
pertanian
Keterangan
Dikenali dengan nama meniran bagi masyarakat
indonesia , tumbuhan in termasuk dalam famili Eurphorbiaceae. Selalunya tumbuh
di kawasan yang tanahnya agak keras, seperti di celah retakan simen. Juga boleh
didapati di kawasan kebun-kebun sayur dan tanah terbiar. Daun pokok ini adalah
dari jenis majmuk bipinat, daunnya kecil berwarna hijau yang agak gelap dan
tersusun berselang seli dengan jarak lebih kurang 6-10mm. Ia adalah herba
tahunan(annual) dengan ketinggian lebih kurang 30-60 cm. Ia mempunyai bunga
yang berwarna putih kekuningan dan satu tangkai bunga mempunya bunga-bunga
kecil yang banyak . Terdapat dua jenis bunga; bunga jantan dan betina. Kapsul
bijinya sangat kecil, berpermukaan licin dan dari jenis 3-gonous. Kitaran dari
satu biji ke biji yang berikutnya adalah 2 hingga 4 minggu. Dukung anak tumbuh
di kawasan yang beriklim tropika seperti Malaysia, Indonesia,Thailand. Juga
terdapat di China, India dan dalam kawasan antara Filipina dan cuba. Di
kebanyakan tempat ia mendatangkan masalah kepada petani kerana selalunya tumbuh
di kawasan pertanian dan dianggap rumpai yang sukar dikawal.
Kegunaan
Akar, daun, buah, jus dan keseluruhan tumbuhan
ini mempunyai nilai perubatan. Perubatan ayurveda ia digunakan sebagai
penghilang dahaga, bronchitis, kusta, anemia, penyakit kelenjar kencing, anuria
dan asma. Boleh juga digunakan untuk mengubat penyakit berak berdarah
(dysentery) yang kronik (mengikut kaedah perubatan unani dari India). Buahnya
digunakan untuk mengubati luka, kerengsaan, penyakit kudis buta (scabies) dan kurap.
Akarnya pula (yang masih segar) adalah penawar yang berkesan untuk penyakit
kuning (jaundice) terutamanya pada bayi yang baru lahir. Daun yang telah
dilumatkan dan dicampur dengan sedikit garam dapur boleh merawat jangkitan
kudis buta(scabies). Jika tidak dicampur garam ia boleh ditampal pada luka dan
lebam. Ia juga boleh digunakan untuk merawat bisa gigitan ular. Tumbuhan ini
juga boleh digunakan sebagai tuba(racun) ikan. Kaedah perubatan ayurveda banyak
menggunakan tumbuhan ini samaada dalam bentuk tumbuhan ini dikeringkan dan
dijadikan serbuk atau terus menggunakan tumbuhan ini dalam bentuk tumbuhan
segar.
Walaupun masih sukar untuk menentukan apakah
kandungan dalam tumbuhan ini yang menyebabkan ia mempunyai nilai perubatan yang
tinggi, ada kajian yang menunjukkan ia memberikan kesan positif untuk mengubati
penyakit hepaptitis B, dalam satu kajian, didapati 22 daripada 37, iaitu
sebanyak 59% dari pembawa virus hepatitis B yang dirawat dengan persediaan
herba dari tumbuhan ini selama sebulan telah kehilangan antigen hepatitis B
setelah di uji selepas 15 hingga 20 hari selepas rawatan selesai. Jika
menggunakan rawatan biasa hanya 4% dari pembawa akan kehilangan antigen untuk
tempoh yang sama. Persediaan herba ini hendaklah di amalkan selama sebulan atau
lebih untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Jika digunakan secara biasa, tiada
kesan sampingan didapati setakat ini. Namun anda dinasihatkan mendapatkan
pandangan doktor sebelum memulakan rawatan. Walaupun ia membantu mengurangkan
jumlah virus hepaptitis B yang dijumpai didalam darah, ia masih tidak dapat
menghilangkan kesemuanya, jadi ia bukanlah penawar kepada penyakit ini, namun
mengambilannya dapat mengurangkan dan mengawal pertumbuhan dan pertambahan
virus hepatitis B. Kajian lanjut masih dijalankan oleh para saintis mengenai
kegunaan dukung anak untuk merawat hepatitis B.
Gandarusa
Nama Saintifik:Justicia Gendarussa linn
Famili:Acanthaceae
Nama Biasa:Gandarusa
Nama lain:Daun rusa(melayu), bo gu
dan(cina),gendarussa(english)
Lokasi dijumpai:Tumbuhan meliar dan tanaman
hiasan
Keterangan
Tumbuhan ini boleh dijumpai tumbuh liar di
kawasan semak pada ketinggian 1-500 meter dari aras laut. Ia tumbuh tegak dan
boleh mencapai ketinggian hingga 2 meter. Panjang daunnya lebih kura 5-20 cm
dan daunnya dari jenis daun tunggal. Dua jenis gandarusa biasa dijumpai dan
dibezakan oleh warna batangnya. Ada yang berwarna hitam dan ada yang berwarna
hijau. Pokok berbatang hitam lebih popular sebagai ubat dari yang berbatang
hijau.
Kegunaan
Ia biasa digunakan untuk mengubat lebam akibat
pukulan, tulang patah, rheumatik dan bisul. cara penggunaannya ,untuk tulang
patah daunnya yang segar atau kering dikisar hingga lumat dan dicampur cuka
untuk ditampal pada bahagian yang luka dengan syarat tulang telah berada pada
kedudukannya yang betul. Untuk rheumatik 15-30 g daunnya yang segar direbus
hingga mendidih dan airnya diminum. Untuk lebam pula daunnya dilayurkan pada
api hingga layu dan ditampal pada bahagian yang lebam. Ia juga boleh digunakan
untuk menurunkan panas badan, menyembuhkan lumpuh otot muka (selalunya
disebabkan oleh minor stroke),sakit kepala, mata dan telinga. Amaran: Tidak
boleh digunakan oleh wanita hamil.
Hati-hati
Nama Saintifik:Coleus Blumei
Famili:Labiatae
Nama Biasa:Hati-hati
Nama lain:Nilam, bangun-bangun, ati-ati
Lokasi dijumpai:Tanaman hiasan
Keterangan
Pokok hati-hati terdapat dalam banyak warna
antaranya ungu dan hijau serta campuran merah jambu dan hijau. Pokok ini banyak
ditanam sebagai pokok hiasan dan tutup bumi.
Kegunaan
Daun hati-hati digunakan untuk merawat batuk
terutamanya untuk orang dewasa. Caranya ialah dengan cara menumbuk beberapa
helai daunnya dan dicampur dengan air, kemudian tapis airnya untuk diminum dua
kali sehari. Selain itu campuran daun hati-hati, daun inai, daun jambu batu dan
akar tutup bumi direbus hingga mendidih dan diminum airnya untuk mengecutkan
rahim. Untuk asma pula(terutamanya pada kanak-kanak) ambil beberapa helai daun
hati-hati yang berwarna hijau dan secubit kapur sirih. Ramas(upar) daun bersama
kapur sirih hingga hancur dan sapu pada dada pengidap asma tadi sebelum
tidur.Daun ini boleh juga direbus bersama dua cawan air hingga tinggal secawan,
campurkan sedikit gula batu dan minum.
Hempedu Bumi
Nama Saintifik: Andrographis Paniculata
Famili:Acanthaceae
Nama Biasa:Hempedu bumi
Nama lain:Akar cerita, sambilata,nivalembu,king
of bitter, maha tita
Lokasi dijumpai:Malaysia, Thailand, India,
Indonesia
Keterangan
Pokok Hempedu bumi juga dikenali sebagai pokok
akar cerita. Pokok Hempedu bumi banyak dijumpai di India, Thailand dan paling
senang di jumpai di tanah gambut. Hempedu bumi merupakan satu tumbuhan herba
semusim yang tumbuh menegak. Tingginya boleh mencapai 60-70 cm. Daun Hempedu
bumi berwarna hijau pekat, licin dan tersusun secara bersilang. Daun Hempedu bumi
juga mempunyai bentuk bujur, runcing di hujung dan nipis di pangkal.
Kegunaan
Daun hempedu bumi ini boleh dijadikan ubat untuk
menurunkan darah tinggi di samping merawat kencing manis. Cara menjadikannya
ubat ialah merebus daun tersebut untuk mengambil airnya supaya boleh diminum.
Daun ini juga boleh merawat luka dengan cara menumbuk lumat daun tersebut dan
letakkannya pada luka tersebut. Kandungan bahan kimia daun ini membolehkan ia
memecahkan molekul- molekul lemak yang ada disekeliling salur darah yang
tersumbat yang menyebabkan tekanan darah tinggi meningkat. Air rebusan daun ini
yang pahit telah merangsangnya supaya memecahkan molekul lemak. Memang suatu
yang tidak boleh dinafikan bahawa rasa pahit, kelat dan masam agar sukar
dipisahkan dengan alam perubatan herba tempatan. Tetapi rasa sebegitu
sememangnya tidak begitu menarik minat sebahagian besar masyarakat kita. Mereka
lebih gemar kepada rasa manis dan masin. Pengambilan rasa manis dan masin yang
berlebihan boleh menyebabkan penyakit tertentu. Tetapi jika diseimbangkan
pengambilan perasa-perasa itu adalah baik untuk kesihatan. Antara herba yang
mempunyai rasa pahit adalah pokok hempedu bumi (nama saintifiknya adalah
Andrographis Paniculata) ataupun sesetengah orang memanggilnya sebagai akar cerita.
Pokok herba ini agak senang dicari kerana ia tumbuh di sekitar rumah, longkang
ataupun kawasan semak samun yang terbiar. Mungkin ia tumbuh di kawasan
sedemikian, maka sebahagian besar masyarakat hari ini kurang mengetahui
khasiatnya yang agak popular bagi tumbuhan ini adalah untuk merawat penyakit
darah tinggi dan juga demam. Malah, tumbuhan ini juga sesuai untuk merawat
kesan gigitan serangga. Cara yang paling mudah adalah ambil beberapa helai
daunnya dan hancurkan. Sapulah di tempat yang terkena gigitan serangga itu.
Tetapi ia lebih popular dalam merawat penyakit darah tinggi dan demam. Cara
yang sering diamalkan adalah kita perlu mengambil beberapa helai daunnya dan
bersihkan terlebih dahulu. Kemudian rendam daun-daun itu dalam segelas air
panas dan biarkan sehingga air panas itu menjadi suam. Selepas itu, minumlah
perlahan-lahan. Rasanya agak pahit, khususnya bagi mereka yang pertama kali
meminumnya. Tetapi harus ingat, sebagaimana tumbuhan herba yang lain janganlah
minum kerap sangat dalam sehari. Cukup untuk minum sekali sehari.
Jarum Tujuh Bilah
Nama Saintifik:Pereskia sacharosa/saecnarosa
Famili:Cactaceae
Nama Biasa:Jarum tujuh bilah
Nama lain:Bintang tujuh,Pokok kanser,Chat sim
Chan
Lokasi dijumpai:Tanaman hiasan
Keterangan
Tumbuhan dari keluarga kaktus ini mungkin
satu-satunya kaktus yang mempunyai daun yang sebenar. Ia merupakan genus paling
primitif dalam keluarga kaktus. Pereskia berasal dari Korea tapi boleh didapati
dengan mudah di Malaysia, Thailand dan Indonesia. Malah ia merupakan tumbuhan
yang agak lasak dan boleh beradaptasi dengan hampir semua iklim kecuali tundra.
Keadaan optimum untuk pertumbuhannya adala sinar matahari yang terang dan iklim
tropika. Ia adalah tumbuhan yang mudah membiak. Memiliki ciri yang hampir
menyerupai pokok parisan, pokok ini juga mudah ditanam dengan kaedah cantas dan
cucuk Arizal 2004. Ia juga boleh membiak melalui biji benih. Daunnya mudah
gugur jika terdedah dengan keadaan kering namun mudah pula tumbuh semula
apabila air mencukupi. Terdapat 15-20 spesis pereskia terutamanya dari Afrika
Selatan, Amerika Tengah dan India Barat. Sepanjang batangnya terdapat tujuh
batang duri yang meruncing tajam, kerana itu juga ia dipanggil jarum tujuh
bilah. Daunnya yang rangup boleh dijadikan ulam atau salad.
Kegunaan
Pereskia dikatakan dapat merawat kanser
terutamanya kanser kolon(usus besar), kanser hidung dan juga kanser lain.
Terdapat 3 cara menggunakannya, pertama dengan memasukkan lebih kurang 2 helai
daunnya ke dalam air panas dan dijadikan teh dan airnya diminum, kedua daunnya
dimakan sebagai ulam sebanya 1-3 helai setiap hari dan ketiga dengan cara
mengisar daunnya hingga lumat, campurkan air dan jusnya diminum. Anda dilarang
dari meminum sebarang jenis minuman teh selepas mengambil herba ini kerana ia
dikatakan dapat menghapuskan segala khasiat dalam badan kita. Kajian terhadap
kandungan kimia yang terdapat dalam pereskia dan tindakbalas sel kanser
terhadapnya sedang giatdijalankan.
Kacang Telang
Nama Saintifik:Clitoria ternatea
Famili:Kekacang
Nama Biasa:Kacang telang
Nama lain:Butterfly pea, blue pea
Lokasi dijumpai:Tumbuhan meliar
Keterangan
Kacang telang atau nama saintifiknya clitoria
ternatea dari famili Fabaceae juga dikenali dengan nama butterfly pea, blue
pea. Di kelantan ia juga dikenali dengan nama bunga nasi kerabu kerana ia boleh
digunakan untuk mewarnakan nasi kerabu menjadi biru. Tumbuhan ini akan membiak
subur dalam medium yang agak lembap (tanah yang mempunyai kandungan humus yang
tinggi) dan tanah perlu lembab sepanjang masa. Ia memerlukan cahaya matahari
yang secukupnya untuk membesar. Tumbuhan ini boleh membiak dengan cara keratan
batang atau biji. Sifatnya yang menjalar menjadikannya sesuai untuk tanaman
pada trailis ataupun sebagai tanaman untuk pasu gantung. Bunganya yang berwarna
ungu kebiruan akan mekar sepanjang tahun. Untuk menyemainya, biji benih
direndam dalam air selama 3 hingga 4 jam sebelum disemai dalam tanah. Selalunya
benih akan mula bercambah selepas 7 hingga 14 hari. Untuk keratan batang pula
semai dalam pasir yang lembap dan pastikan airnya mencukupi. Tumbuhan ini perlu
selalu dipangkas (dipotong rantingnya) untuk memastikan pertumbuhan ranting
baru tidak terbantut.
Kegunaan
Kacang telang telah dipercayai turun-temurun
berkhasiat untuk melebat dang menghitamkan rambut. Ia juga mengilatkan rambut
dan juga dapat menyuburkan kulit kepala. Selain daripada itu kepercayaan yang
tidak dapat dibuktikan secara saintifik adalah untuk mengelakkan keguguran
batangnya dililitkan pada pinggang perempuan hamil. Daunnya dan bunganya juga
dikatakan dapat mengurangkan sakit kepala. Caranya, daun atau bunganya
dimasukkan dalam kain hingga membentuk bantal dan digunakan untuk tidur oleh
pesakit. Bunganya juga boleh direndam dalam air panas dan diminum seperti teh
untuk mengurangkan sakit akibat ulcer mulut. Ia juga dapat merawat insomnia.
Kacip Fatimah
Nama Saintifik:Labisia Pumila
Famili:Myrsinaceae
Nama Biasa:Kacip Fatimah
Lokasi dijumpai:
Malaysia, Thailand, Indochina
Keterangan
Kacip fatimah atau nama saintifiknya labisia
pumila dari famili Myrsinaceae adalah sejenis tumbuhan herba yang mempunyai
batang berkayu. Ia biasanya tumbuh secara liar di hutan hujan tropika pada
ketinggian lebih kurang 150 kaki dari aras laut. Tumbuhan ini membiak dengan 2
cara: melalui biji benih dan keratan akar(pecahan akar). Tumbuhan ini dapat
tumbuh dengan sempurna dikawasan yang akan redup dengan tanah yang mempunyai
kandungan humus yang tinggi dan tidak menakung air. 3 jenis variasi yang biasa
dijumpai di Malaysia ialah :Labisia pumila var. alata, L. pumila var. pumila
dan L. pumila var. lanceolata.
Kegunaan
Kacip Fatimah begitu sinonim dengan wanita. Ia
dikatakan dapat mempercepatkan proses kelahiran bayi disamping dapat
mengembalikan kecergasan selepas bersalin. selain dari itu ia juga dikatakan
dapat membantu mengecutkan rahim dan melangsingkan badan. Kacip fatimah juga
dikatakan dapat merangsangkan pengeluaran hormon yang dapat melancarkan
perjalanan dan kitaran haid wanita. Ia juga dapat mengurangkan sakit senggugut
ketika haid. Sekarang banyak syarikat pengeluar herba mengkomersialkan tumbuhan
ini dan dijadikan tonik selepas bersalin. Cara penggunaan untuk selepas/sebelum
bersalin ialah dengan merebusnya (satu pokok termasuk daunnnya) ke dalam seperiuk
air (seeloknya periuk tanah) dan airnya diminum. Ia juga boleh digunakan untuk
mengubat penyakit buasir(hemarroid/pile) dengan cara merebus akarnya yang telah
dikeringkan. Ia juga boleh digunakan untuk merawat cirit birit, sakit sendi
(rheumatism), gonorhea dan walaupun tumbuhan ini mempunyai khasiat yang begitu
tinggi, satu aspek yang sering dilupakan adalah tahap ketoksidan kandungan
kimia didalamnya. Kajian sedang dilakukan dengan terperinci untuk menentukan
kesan sampingan dan akibat dari penggunaan produk dari bahan ini supaya dos
yang sepatutnya boleh dicadangkan.
Kaduk
Nama Saintifik:Piper sarmentosum roxb
Famili:Piperaceae
Nama Biasa:Kaduk
Nama lain:Sirih duduk
Lokasi dijumpai:Di kawasan yang agak lembab
Keterangan
Kaduk ialah sejenis tanaman yang banyak
digunakan sebagai perisa dalam masakan melayu seperti masak lemak terutamanya
masak lemak udang dan ketam. Kaduk sedap dijadikan ulam jika direbus dan
dicecah dengan sambal belacan. Ia mudah ditanam dan hidup subur terutamanya di
kawasan-kawasan yang lembap dan hidup liar. Daun kaduk lembut berbentuk bujur
bulat, nipis, berwarna hijau tua, berkilat dan berselang-seli manakala bunganya
banyak, padat, sangat kecil dan tersusun rapat. Ia adalah tumbuhan jenis
memanjat yang sesuai hidup dikawasan beriklim panas seperti tropika. Kaduk
hidup meliar terutama di kawasan teduh, lembap atau di bawah sudur pokok lain
manakala penanamannya menggunakan kaedah keratan batang.
Kegunaan
Air yang direbus dengan akar pokok kaduk dapat
melawaskan kencing. Daunnya pula mujarab untuk merawat demam malaria dengan
cara meminum air rebusannya. Air rebusan itu juga berkhasiat bagi melegakan
batuk-batuk, selesema, sakit pinggang, sakit gigi dan sengal-sengal tulang.
Daunnya yang ditumbuk pula boleh dijadikan ubat panau dengan cara menambal pada
bahagian panau itu.
Kari
Nama Saintifik:Murraya Koenigii
Famili:Rutaceae
Nama Biasa:Kari
Nama lain:Karipulei, curry leaves
Lokasi dijumpai:Diperkarangan rumah
Keterangan
Pokok kari ialah sejenis pokok renek yang
mempunyai ketinggian antara 0.9 hingga 6 meter. Ia biasa ditanam dihalaman
rumah kerana kegunaan sebagai rempah dalam masakan terutamanya dalam masakan
kari. Daun kari mempunyai bau yang kuat dan mempunyai rasa agak pahit. Daun ini
mempunyai banyak kegunaan bagi masyarakat india kerana ia tidak hanya digunakan
dalam masakan kari tetapi dalam masakan lain seperti rasam, chutney , murukku
dan sebagainya lagi. Berasal dari India dan Sri Lanka tumbuhan ini akan hidup
subur dalam zon tropika. Tumbuhan ini agak lasak walaupun sebenarnya ia
menyukai tanah yang subur dan kaya dengan mineral. Bunganya kecil berwarna
putih kekuningan dan buahnya juga kecil berwarna hijau ketika muda dan ungu
setelah matang. Ia membuak melalui biji benih, keratan batang dan anak yang
tumbuh dari akarnya. Selain ditanam di halaman rumah kerana daunnya ia juga
ditanam sebagai tumbuhan hiasan. Hasil kajian mendapati daun kari mengandungi :
66.3% kelembapan, 6.1% protein, 1.0% lemak, 16.0% karbohidrat, 6.4% fiber,
Mineral dan vitamin seperti kalsium, fosforus, zat besi, asid nikotinik dan
vitamin C. Ia juga mengandungi volatile oil dan sejenis glukosid yang dipanggil
koenigiin.
Kegunaan
Daun kari mempunyai khasiat perubatan yang
tinggi dan digunakan dengan meluas dalam perubatan india. Ia dijadikan tonik herba
untuk menguatkan perut dan meningkatkan keupayaannya serta mengatasi masaalah
penghadaman. Ia juga boleh digunakan sebagai laksatif(julap) lemah untuk
mengatasi masalah sembelit. Jus daunnya yang segar dicampur dengan jus limau
nipis digunakan untuk mengatasi masalah loya dan pening terutamanya akibat
makan lemak yang berlebihan. Caranya dengan mencampurkan satu sudu teh jus daun
kari dan satu sudu teh jus limau nipis. Jus daun kari yang dicampur dengan madu
juga dapat menjadi penawar kepada cirit birit dan buasir. Air rebusan kulit
batangnya yang kering dapat digunakan untuk mengubat diabetes. Amalan memakan
10 helai daunnya setiap hari selama 3 bulan dikatakan dapat mencegah kencing
manis yang disebabkan oleh keturunan dan kegemukan. Selain dari itu daun kari
juga dapat mencegah uban. Buahnya dididihkan dengan minyak kelapa hingga
kehitaman boleh dihancurkan dan digunakan untuk merawat gigitan serangga dan
haiwan berbisa. Daunnya yang dihancurkan dan dijadikan pes boleh digunakan
untuk merawat lebam dan bengkak dengan cara menampalnya pada bahagian yang
sakit itu.
Kenerak
Nama Saintifik:Goniothalamus Umbrosus
Famili:Annonaceae
Nama Biasa:Kenerak
Nama lain:Selukai, selukai putih
Lokasi dijumpai:Tumbuhan liar
Keterangan
Pokok kenerak merupakan sejenis pokok renek yang
boleh ditemui dihutan dan belukar yang agak tebal. Bunganya berbau sangat
wangi, berwarna kuning keputihan ketika mula kembang dan akan berubah menjadi
kuning. Daunnya agak besar dan lebar berukuran lebih kurang 20 cm panjang dan 7
cm lebar. Ia boleh membiak melalui biji benih dan keratan batang.
Kegunaan
Secara tradisinya kenerak digunakan dalam
perubatan melayu untuk merawat penyakit seperti barah rahim. Ia juga digunakan
sebagai penjarak kehamilan dan tonik selepas bersalin. Secara saintifik ia
terbukti merupakan tumbuhan yang mempunyai ciri anti kanser (kulit batangnya).
Styrylpyrone derivative (SPD) ialah ialah bahan aktif yang diekstrak dari
kenerak. Ia terbukti dapat menyeimbangkan pertumbuhan sel kanser (kanser
payudara) dengan cara meningkatkan kematian sel barah. SPD dijangka akan berada
dipasaran pada tahun 2005. Kajian terhadap kenerak dan SPD yang dilakukan oleh
sekumpulan penyelidik dari UKM telah memenangi Pingat Emas dalam pertandingan
ciptaan dan teknik baru yang berlangsung di Geneva switzerland pada tahun 2000.
Kermak Putih
Nama Saintifik:Alternanthera sessilis
Famili:Amaranthacea
Nama Biasa:Kermak putih
Nama lain:Keremak, keremah, daun tolod
Lokasi dijumpai:Di kawasan berumput
Keterangan
Kermak ialah sejenis tumbuhan yang biasa
dijumpai tumbuh bersama rumput. Struktur hampir menyerupai pokok urang aring
dan habitatnya juga sama. Ia boleh tumbuh dikawasan lembab dan agak berair
hingga ada yang menganggapnya tumbuhan akuatik.
Kegunaan
Kermak biasa digunakan untuk mengubat cirit
birit, melancarkan pembuangan najis, mengubat penyakit TB(tuberculosis) dan
penyakit kuning. Ekstrak atau jus dari tumbuhan ini boleh diminum. Ia juga
boleh dijadikan ulam. Sesetengah berpendapat mengatakan kermak dapat mencuci
lemak dan toksid dari badan jika di makan sebagai ulam.
Senduduk
Nama Saintifik:Melastoma malabathricum
Famili:Melastomataceae
Nama Biasa:Senduduk
Nama lain:Keduduk,senggani,Straits Rhododendron
Lokasi dijumpai:Semak dan belukar
Keterangan
Pokok renek ini biasa dijumpai dibelukar dan
semak yang tidak terlalu tebal. Tinggi purata pokok senduduk ialah 1 m namun ia
boleh mencapai ketinggian hingga 3 m. Batangnya berwarna kemerahan dan dilitupi
oleh bulu-bulu halus. Sama seperti batang daun dan buahnya juga dilitupi bulu
ini. Bunganya cantik dan mempunyai 5 kelopak dengan stamen berwarna kuning
ditengah-tengahnya. Bunga senduduk yang paling biasa dijumpai berwarna ungu
gelap hingga ke merah jambu dan putih. Jenis berwarna putih ialah jenis yang paling
jarang dijumpai tumbuh liar. Selalunya ia ditanam untuk tujuan perubatan.
Bijinya berwarna hitam dan mempunyai sedikit rasa pahit dan manis dan ia boleh
dimakan. Apabila dimakan ia boleh meninggalkan warna hitam pada mulut dan dari
sinilah senduduk mendapat nama botaninya melastoma yang bermaksud mulut hitam
dalam bahasa greek. Pucuknya boleh dijadikan ulam dengan dimakan mentah atau
direbus. Ia mempunyai rasa yang agak masam kelat. Warna dari buahnya dijadikan
pewarna kain disesetengah tempat sepeti di Thailand. Daunnya boleh dijadikan
makanan untuk ulat sutera seperti daun kertau dan mulberi juga.Buahnya menjadi
makanan kegemaran burung.
Kegunaan
Perubatan tradisional banyak menggunakan
senduduk sebagai tumbuhan untuk mengembalikan kecergasan badan terutamanya
selepas bersalin. Daun senduduk bersama daun mengkudu, serai wangi, pandan dan
limau purut dicampur bersama air panas dan dijadikan rempah untuk mandi selepas
bersalin, selalunya selama 3 pagi selepas bersalin. Daunnya yang tua dan gugur
kebumi akan bertukar warna menjadi merah muda. Daun ini ditumbuk dan air
tapisannya diminum untuk menyembuhkan luka dalaman selepas bersalin. Sesiapa
yang pernah terkena bisa ulat bulu pasti tahu betapa sakitnya bisa itu. Daun
senduduk boleh juga di gunakan untuk merawat bisa ini dengan cara menumbuk
daunnya yang matang dan gugur kebumi dalam keadaan telungkup dan ditampal pada
bahagian yang terkena ulat bulu tadi. Selain daripada itu senduduk juga boleh
digunakan untuk merawat cirit birit, najisk berdarah dan buasir dengan cara
meminum air rebusan daunnya. Pes daunnya yang ditumbuk juga boleh menghilangkan
parut akibat pelentong/bertih/cacar air.
Teja
Nama Saintifik:Cinnamomum culilawan Bl
Famili:Lauraceae
Nama Biasa:Teja
Nama lain:Kayu tija(indonesia),culilawan
Lokasi dijumpai:Di hutan dan kawasan pembalakan
Keterangan
Pokok teja ialah sejenis tumbuhan renek yang
senang didapati di kampung kampung. Semasa kecil ibu selalu menggunakan rebusan
daun teja bersama daun, medang turus sebagai air mandian untuk menghilangkan
lenguh badan. Tumbuhan saka ini adalah tumbuhan dari famili yang sama dengan
kayu manis dan bentuk fizikal dari bentuk daun dan bunganya juga hampis sama.
Seluruh bahagian pokok ini terutama kulit batangnya mempunyai aroma yang kuat.
Bahan aktif yang terdapat didalamnya ialah minyak volatile.
Kegunaan
Walaupun teja mempunyai banyak khasiat perubatan
namun ia jarang digunakan kerana pendedahan yang tidak meluas mengenai
khasiatnya. Antara khasiat teja ialah untuk mengembalikan kecergasan badan dan
mengilangkan lenguh-lenguh dengan cara mencampurkan daunnya bersama air suam
dan dijadikan air mandian. Ia sesuai digunakan oleh ibu yang baru melahirkan.
Tutup Bumi
Nama Saintifik:Elephantopus Scaber
Famili:Compositae
Nama Biasa:Tutup Bumi
Nama lain:Tapak leman/tapak liman,Tapak tangan,
tapak tanah,tapak gajah, ku di dan (china),Prickly-leaved Elephants
Foot(English),Doh , Doh Mai Rue(Thailand) Lom
Lokasi dijumpai: Padang-padang rumput
Keterangan
Rumpai ini biasa dijumpai tumbuh liar
dipadang-padang bersama rumput. Ia sesuai tumbuh pada semua ketinggian hingga
mencapai 1200 m dari aras laut.
Kegunaan
Untuk mengubat anaemia, batuk ,selsema dan serak
tekak, radang rahim , hepatitis, bisul, penyakit kulit, cirit birit dan
keputihan juga radang mata. Ia juga dikatakan dapat mempermudahkan proses
kelahiran dan digunakan selepas bersalin untuk mengembalikan kecergasan badan.
Bahagian yang digunakan : seluruh bahagian tumbuhan termasuk akarnya
dibersihkan dan dikeringkan. Untuk penyakit hepatitis (sakit kuning), 120-180g
akar yang masih segar direbus bersama daging dan air(supnya) diminum selama 4-5
hari. Untuk perut kembung pula 60g batangnya yang masih segar direbus dan
diminum airnya. Untuk penyakit lain rebus 15-50 gram pokoknya yang telah
dikeringkan dan minum airnya. Pucuk dan akarnya yang direbus bersama daun inai,
daun jambu batu dapat mengecutkan rahim.
a